Kepentingan Bahasa
Kebangsaan
Dalam kerancakan penduduk jagat raya menari-nari bersama
bayang-bayang pemodenan, kerajaan yang diumpamakan sebagai jantung negara
mestilah menjalankan langkah proaktif bagi mengatasi setiap kemelut yang
melanda negara kita. Seperti yang kita ketahui, slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’
acap kali di wara-warakan di dada-dada akhbar, di corong-corong radio dan
televisyen serta galakan daripada tokoh-tokoh terkemuka di negara kita sendiri.
Namun begitu, masih ada lagi insan yang tidak menghargai bahasa kebangsaan sebaliknya
mengagung-agungkan bahasa-bahasa lain terutama bahasa Inggeris dan sebagainya.
Lantaran itu, setiap individu tidak sewajarnya memandang enteng terhadap
perkara ini. Setiap pihak harus menggembleng tenaga dalam memartabatkan bahasa
kebangsaan supaya bumi emas Malaysia dapat ‘duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi’ setaraf dengan negara-negara membangun yang lain. Bahasa kebangsaan
mempunyai pelbagai kepentingan terutamanya kepada masyarakat pelbagai kaum,
yang berbumbungkan langit yang sama, dan bertanahkan bumi Malaysia yang
dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.
Pada zaman milenium ini, bahasa sudah biasa dijadikan
sebagai cerucuk utama dalam melambangkan sesuatu bangsa dan negara. Bahasa
merupakan satu simbolik perdana perdana dalam menentukan martabat bangsa dan
negara. Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dapat mengharumkan nama negara di
seantero jagat ini. Sebagai contoh, ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka,
Tanah Melayu telah menjadi palabuhan entreport yang penting. Rentetan daripada
itu, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa perhubungan atau lingua franca di
Asia Tenggara. Jelaslah di sini bahawa bahasa kebangsaan akan dipandang tinggi
jika setiap rakyat berusaha menghargainya.
Tanpa kita sedari, bahasa kebangsaan dapat meningkatkan
taraf ekonomi di negara kita. Dalam mendepani arus globalisasi, rakyat di
negara kita sedang menggembleng tenaga bagi mencapai kecemerlangan dalam
kehidupan. Jika semua kaum dapat menjalankan aktiviti ekonomi dengan
menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan, kita semua dapat
bersatu untuk saling melengkapi. Masyarakat Melayu, Cina, dan India sentiasa
berbincang dan bertukar fikiran tentang ekonomi dengan menggunakan satu bahasa.
Justeru, setiap pihak akan jelas dan dapat merealisasikan matlamat negara kita
iaitu untuk mencapai Wawasan 2020 yang berbaki lapan tahun lagi. Kita
seharusnya bekerjasama persis peribahasa, ‘berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing’, namun begitu, tidak boleh ada kaum yang ‘bagai enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Percayalah bahawa bahasa kebangsaan
mampu dijadikan wadah dalam meningkatkan taraf ekonomi negara Malaysia bagi menuju
visi dan matlamat Wawasan 2020.
“Kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu matlamat…”
Begitulah sedikit bait-bait lirik lagu patriotik yang sering berkumandang di
corong-corong radio dan di televisyen. Kesimpulannya, setiap pihak mestilah
memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita.
Hal ini dapat mendorong kita mencapai matlamat Wawasan 2020 seterusnya
melahirkan masyarakat mawaddah dan sakinah. Namun begitu, hal ini hanya mampu
direalisasikan sekiranya setiap warganegara Malaysia mencintai dan berusaha
menaikkan nama Malaysia di seantero dunia. Jelaslah bahawa bahasa kebangsaan
mempunyai kepentingan yang jitu untuk semua kaum di negara ini.