Kepentingan Bahasa Kebangsaan

Dalam kerancakan penduduk jagat raya menari-nari bersama bayang-bayang pemodenan, kerajaan yang diumpamakan sebagai jantung negara mestilah menjalankan langkah proaktif bagi mengatasi setiap kemelut yang melanda negara kita. Seperti yang kita ketahui, slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ acap kali di wara-warakan di dada-dada akhbar, di corong-corong radio dan televisyen serta galakan daripada tokoh-tokoh terkemuka di negara kita sendiri. Namun begitu, masih ada lagi insan yang tidak menghargai bahasa kebangsaan sebaliknya mengagung-agungkan bahasa-bahasa lain terutama bahasa Inggeris dan sebagainya. Lantaran itu, setiap individu tidak sewajarnya memandang enteng terhadap perkara ini. Setiap pihak harus menggembleng tenaga dalam memartabatkan bahasa kebangsaan supaya bumi emas Malaysia dapat ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ setaraf dengan negara-negara membangun yang lain. Bahasa kebangsaan mempunyai pelbagai kepentingan terutamanya kepada masyarakat pelbagai kaum, yang berbumbungkan langit yang sama, dan bertanahkan bumi Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu. 


Pada zaman milenium ini, bahasa sudah biasa dijadikan sebagai cerucuk utama dalam melambangkan sesuatu bangsa dan negara. Bahasa merupakan satu simbolik perdana perdana dalam menentukan martabat bangsa dan negara. Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dapat mengharumkan nama negara di seantero jagat ini. Sebagai contoh, ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu telah menjadi palabuhan entreport yang penting. Rentetan daripada itu, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa perhubungan atau lingua franca di Asia Tenggara. Jelaslah di sini bahawa bahasa kebangsaan akan dipandang tinggi jika setiap rakyat berusaha menghargainya.

Tanpa kita sedari, bahasa kebangsaan dapat meningkatkan taraf ekonomi di negara kita. Dalam mendepani arus globalisasi, rakyat di negara kita sedang menggembleng tenaga bagi mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Jika semua kaum dapat menjalankan aktiviti ekonomi dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan, kita semua dapat bersatu untuk saling melengkapi. Masyarakat Melayu, Cina, dan India sentiasa berbincang dan bertukar fikiran tentang ekonomi dengan menggunakan satu bahasa. Justeru, setiap pihak akan jelas dan dapat merealisasikan matlamat negara kita iaitu untuk mencapai Wawasan 2020 yang berbaki lapan tahun lagi. Kita seharusnya bekerjasama persis peribahasa, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, namun begitu, tidak boleh ada kaum yang ‘bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Percayalah bahawa bahasa kebangsaan mampu dijadikan wadah dalam meningkatkan taraf ekonomi negara Malaysia bagi menuju visi dan matlamat Wawasan 2020.


“Kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu matlamat…” Begitulah sedikit bait-bait lirik lagu patriotik yang sering berkumandang di corong-corong radio dan di televisyen. Kesimpulannya, setiap pihak mestilah memainkan peranan penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita. Hal ini dapat mendorong kita mencapai matlamat Wawasan 2020 seterusnya melahirkan masyarakat mawaddah dan sakinah. Namun begitu, hal ini hanya mampu direalisasikan sekiranya setiap warganegara Malaysia mencintai dan berusaha menaikkan nama Malaysia di seantero dunia. Jelaslah bahawa bahasa kebangsaan mempunyai kepentingan yang jitu untuk semua kaum di negara ini.

No comments:

Post a Comment